Media

Wujudkan suasana pembelajaran segar




AMINUDDIN Adam (empat dari kiri) bersama Muhammad Zainal Ashikin (lima dari kiri) dan Khairul Adzha Anwar (tiga dari kiri) bergambar bersama murid-murid Prasekolah dalam Majlis Pelancaran Program Kecemerlangan Pendidikan PraSekolah Peringkat Kebangsaan 2014 di Nusajaya, Johor, semalam.


NUSAJAYA 24 Jun – Guru-guru prasekolah perlu berusaha mewujudkan suasana pembelajaran yang segar dan ceria di dalam kelas bagi menimbulkan rasa seronok murid-murid prasekolah menuntut ilmu.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan, Aminuddin Adam berkata, sistem pendidikan negara perlu ditransformasikan seiring dengan perkembangan zaman untuk memastikan berupaya melahirkan generasi yang berdaya fikir tinggi.

Menurutnya, guru-guru prasekolah khususnya perlu lebih kreatif dan berusaha menarik minat dan semangat kanak-kanak terbabit untuk menuntut ilmu iaitu dengan menyelitkan unsur hiburan dalam pendidikan.

“Melalui medium tersebut, kanak-kanak ini akan lebih tertarik untuk hadir ke sekolah dan seterus­nya proses pembelajaran menjadi lebih efisien.

“Pada masa sama, penekanan juga harus diberi kepada pelbagai aktiviti pendidikan bertujuan untuk membina budaya bangsa Malaysia yang memiliki jiwa patriotik dan nilai moral tinggi,” katanya selepas majlis perasmian Prapelancaran Program Kecemerlangan Pendidikan Prasekolah Peringkat Kebangsaan 2014, di sini hari ini.

Yang turut hadir wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Abdul Aziz Redwan; Ketua Pegawai Eksekutif The Big Education Group Sdn. Bhd., Khairul Adzha Anwar dan Ke­tua Pegawai Pembangunan Themed Attractions And Resorts Sdn. Bhd., Muhammad Zainal Ashikin.

Program kecemerlangan tersebut akan melibatkan kira-kira 480 murid prasekolah dari seluruh negara.

Mereka akan mengikuti lawatan sambil belajar ke Little Big Club di sini anjuran The Big Education Group pada 13 hingga 16 Oktober tahun ini.

Sementara itu, Khairul Adzha berkata, pihaknya bertanggungjawab menyediakan pelan pembela­jaran luar kelas bagi meningkatkan lagi kemahiran dan keupayaan berfikir murid-murid prasekolah.

“Suasana pembelajaran di luar kelas adalah sesuatu yang penting bagi membantu murid-murid prasekolah merasai pengalaman pembe­lajaran yang baharu iaitu berbeza dengan sistem formal,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140625/dn_24/Wujudkan-suasana-pembelajaran-segar#ixzz389mYMgMg

© Utusan Melayu (M) Bhd